Sunday 24 May 2009

Outcome Bukan Output, Budaya Bukan Sijil

Berita Harian (Rencana- Minda Lestari), Jumaat 8 Mei 2009



Dr. Zaini Ujang (zaini@utm.my)



ELBERT Einstein (1879-1955) pernah menyebut pendidikan ialah apa yang masih ‘terbaki’ selepas seseorang lupa apa yang dipelajari di sekolah. Bagi beliau, nilai pendidikan bukanlah ‘output’ tetapi ‘outcome’ daripada satu proses panjang membabitkan pelbagai dimensi dan institusi. Beliau tidak keseorangan mendefinisikan makna pendidikan sedemikian, iaitu tanpa terikat kepada proses formal, hasil secara jangka pendek atau proses persijilan semata-mata.


Malah, ramai sarjana Barat setanding Einstein mentakrifkan pendidikan dari segi natijah atau dampak proses dan budaya ilmu. Dalam banyak situasi, makna output setara dengan petunjuk pencapaian utama (KPI) bersifat jangka pendek dan sederhana.


Dari segi pengajian tinggi misalnya, KPI dinilai dari segi tahap pengijazahan seperti bilangan pelajar peringkat lepas ijazah; kemantapan akademik seperti bilangan staf berkelayakan PhD; hasil aktiviti akademik seperti jumlah harta intelek, jumlah dana penyelidikan dan pembangunan (R&D), senarai kertas akademik dalam jurnal antarabangsa; dan hasil proses pengajian seperti jumlah graduan bekerja.


Semua ini diukur dalam tempoh satu semester atau satu tahun akademik. Memang petunjuk jangka pendek dan sederhana penting sebagai barometer pelaksanaan pelbagai dasar dan penambahbaikan segera dan strategik. Namun demikian, kita jangan pula melupakan hakikat bahawa outcome lebih penting daripada output dalam bidang pendidikan.


Sekadar menggunakan output sebagai petunjuk untuk menilai sesuatu proses dan mengukur pencapaian sesebuah institusi bermakna kita mengehadkan ruang sekali gus tidak menggunakan perspektif menyeluruh, holistik dan dampak budaya.


Pada hemat saya inilah antara inti pati penting ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke-10 28 April lalu. Secara khusus Najib menyebut bahawa penjawat awam perlu melakukan anjakan modenisasi paradigma dan struktural, antara lain, beralih daripada budaya ‘output’ atau kesan nyata semata-mata kepada mementingkan aspek ‘outcome’ atau dampak keberhasilan secara holisitik.


Dengan kata lain, pencapaian KPI yang bersifat jangka pendek dan sederhana seperti keupayaan membelanjakan dana, pembinaan infrastruktur fizikal dan jumlah graduan dalam tempoh tertentu - jika dilihat dalam konteks pengajian tinggi, masih belum cukup untuk memastikan bidang pendidikan mencapai dampak menyeluruh dan cemerlang.


Hal ini lebih ketara kerana ‘outcome’ dalam konteks pengajian tinggi perlu dinilai dari segi pencapaian pendidikan secara keseluruhan, iaitu selepas seseorang pelajar mengikuti pengajian dari peringkat rendah, menengah dan tinggi. Pengajian tinggi adalah peringkat terakhir pendidikan formal seseorang pelajar.


Maka ‘outcome’ perlu dilihat secara jangka panjang, tidak terhad kepada ukuran dan statistik jangka pendek tanggungjawab sesebuah kementerian saja. ‘Outcome’ itu perlu dijalinkan dalam konteks Falsafah Pendidikan Kebangsaan sebagai satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.


Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.


Makna ‘insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani’ sukar diukur dengan sesuatu petunjuk ‘outcome’, apatah lagi ‘output’ atau prestasi tahunan atau jangka pendek. Bagaimanapun, ramai sarjana menggariskan ‘outcome’ pendidikan dinilai dari segi keinsanan yang tidak semestinya sama dengan ‘outcome’ organisasi seperti sekolah, universiti atau kementerian.


Oleh itu pencapaian pendidikan secara holisitik dan bersepadu juga sebagaimana terungkap dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan perlu dinilai secara sepadu membabitkan pelbagai agensi, kementerian dan organisasi lain, sekiranya mahu dilihat dari perspektif ‘outcome’. Jika tidak, pencapaian itu dikhuatiri terhad kepada ‘output’ organisasi saja, sekali gus tidak menyerlahkan aspek keinsanan, sebaliknya lebih kepada penilaian instrumen seperti kecekapan dan kemantapan organisasi.


Dari segi intelek, menurut Malcom S. Forbes (1919-1990), tujuan pendidikan ialah menggantikan minda yang kosong dengan minda terbuka. Tun Abdullah Ahmad Badawi pula meletakkan minda kelas pertama sebagai matlamat dalam konteks Malaysia. Hal ini perlu dijadikan satu ‘outcome’ utama proses pendidikan kita. Selain itu, kita juga masih belum berjaya menyemarakkan budaya ilmu.


‘Outcome’ dari segi kualiti insan ialah kemantapan fikiran, keupayaan berhujah, kesantaian berkomunikasi mengikut pelbagai dimensi dan perspektif, pencinta ilmu dan pemburu kebenaran, warga budiman, minda lestari, berbudaya tinggi, berperwatakan mulia dan mahir dalam pencarian ilmu. Dengan kualiti ini maka graduan mampu mengharungi pelbagai situasi dan memasuki pasaran kerja dengan lebih selesa dan berdaya saing.


Perlu difahami dari aspek organisasi bahawa ketika ini peranan universiti, termasuk di kebanyakan negara maju, sama ada disengajakan, disedari atau terpaksa pasrah kepada realiti semasa - telah mengecil kepada proses pengijazahan dan penyelidikan saja. Universiti juga nampaknya semakin tersudut dalam konteks pembinaan minda kelas pertama dan pembudayaan ilmu yang tulus.


Hal ini berlaku kerana banyak universiti terlalu terikat kepada aspek ‘output’ jangka pendek semata-mata, seperti perkembangan program akademik relevan situasi semasa, terutama berkaitan permintaan pasaran kerja.


Kadangkala, dapat dirasakan betapa menjadi pensyarah atau ahli akademik tidak lagi memerlukan kemantapan intelektual dan kesegaran idealisme akademia. Yang diperlukan ialah kecekapan mengurus, kebijaksanaan mengelola, sikap positif terhadap kerjaya di samping pengetahuan khusus pada peringkat ijazah PhD.


Aspek menjurus kepada pembinaan minda kelas pertama dan pembudayaan ilmu seperti wacana, diskusi, ‘kegilaan membaca dan menulis’ dan persekitaran mesra intelektualisme tidak lagi menjadi keasyikan, trend dan aset penting. Bahkan personaliti sedemikian tidak lagi menyerlah di kampus, malah nampaknya semakin pupus melawan arus masa.


Tidak ada lagi debat atau diskusi ilmiah mengenai isu pokok membabitkan perkembangan semasa dalam arena politik, ekonomi, sosial, sains atau teknologi. Kalaupun ada, jarang sekali dianjurkan dengan segala macam syarat dan perkiraan supaya tidak bersifat sensasi dan sensitif. Akhirnya aktiviti kampus yang sepatutnya meriah ilmu menjadi hambar dan lesu sehingga menyebabkan apa saja yang dianjurkan atas nama semarak ilmu dan budaya ilmu dilihat daripada perspektif ‘output’ jangka pendek, umpamanya keperluan kredit dan memenuhi waktu CPD.


Persoalan ini penting untuk kita wacana segera kerana ‘outcome’ dan kemajuan ilmu dan kualiti pengajian tinggi bersifat budaya dan citra karisma, dan tidak mampu diukur dengan perbandingan angka semata-mata. Kemajuan ilmu yang sebenar dalam konteks sesebuah komuniti intelektual tersurat menerusi kualiti jiwa, minda, aspirasi, cara hidup dan kemahiran yang dibangunkan dalam diri setiap warga kampus.


Barangkali gurindam Raja Ali Haji, tokoh pemikir Johor-Riau abad ke-19 masihi mungkin relevan untuk dijadikan petunjuk prestasi ‘outcome’ pendidikan:

> Jika hendak mengenal orang berbangsa, lihat kepada budi dan bahasa,
> Jika hendak mengenal orang yang berbahagia, sangat memeliharakan yang sia-sia.
> Jika hendak mengenal orang mulia, lihatlah kepada kelakuan dia.
> Jika hendak mengenal orang yang berilmu, bertanya dan belajar tiadalah jemu.
> Jika hendak mengenal orang yang berakal, di dalam dunia mengambil bekal.
> Jika hendak mengenal orang yang baik perangai, lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai.


Profil Penulis: Prof. Dato' Ir. Dr. Zaini Ujang ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan penulis buku Memperkasa Budaya Ilmu (UTM Press, 2009).

No comments:

Post a Comment